Pembukaan Blok Baharu Pusat Kesihatan Jubli Perak





Oleh : Aimi Sani / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman

 





SENGKURONG, Sabtu, 27 April. - Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terus menitikberatkan dan memeduli hal ehwal kesihatan rakyat dan penduduk di negara ini.

 

Oleh yang demikian, bagi menambah baik perkhidmatan yang sedia ada, Projek Blok Baru Pusat Kesihatan Jubli Perak, Sengkurong yang menelan belanja sebanyak lebih BND3.1 juta di atas tapak seluas 0.727 ekar telah pun siap dibina pada 1 Mei 2023 iaitu mengambil masa lebih kurang dua tahun pembinaannya. Bangunan tersebut mula dibina pada 6 Mei 2021 dan termasuk dalam Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Ke-11.

 

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan lewat petang tadi mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Perasmian Pembukaan Blok Baharu Pusat Kesihatan Jubli Perak, Sengkurong yang bertempat di Pusat Kesihatan Jubli Perak, Sengkurong.

 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

 

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dibacakan oleh Imam Tingkat 1, Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong, Awang Haji Mohd. Zaidin bin Haji Mohd. Noor dan diikuti dengan lawatan ke Blok Baharu Pusat Kesihatan Jubli Perak, Sengkurong yang diketuai oleh tetamu kehormat majlis.

 

Antara perkhidmatan yang dipindahkan dan disediakan di Blok Baharu Pusat Kesihatan Jubli Perak, Sengkurong adalah seperti berikut iaitu Kaunter Pendaftaran Pesakit (kecuali pendaftaran bagi Klinik Pergigian yang kekal di lokasi sekarang); Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Asasi iaitu Klinik Umum dan Klinik Flu serta Perkhidmatan Kesihatan Ibu dan Anak.

 

Manakala perkhidmatan-perkhidmatan yang masih dikekalkan di blok yang sedia ada adalah Perkhidmatan Pengambilan Contoh Darah; Perkhidmatan Farmasi; Perkhidmatan Klinik Pergigian; Perkhidmatan Pemakanan Komuniti; Perkhidmatan Klinik Mata Komuniti dan Perkhidmatan Psikiatri.

 

Bangunan Blok Baharu Pusat Kesihatan Jubli Perak, Sengkurong akan mula beroperasi pada Isnin, 19 Syawal 1445 Hijrah bersamaan 29 April 2024 Masihi. Waktu beroperasi bagi Pusat Kesihatan Jubli Perak, Sengkurong adalah seperti waktu biasa, iaitu mulai jam 7.45 pagi hingga 12.15 tengah hari dan 1.30 petang hingga 4.30 petang pada waktu bekerja. Selain itu, kemudahan perkhidmatan 'shuttle bus' bagi pesakit masih disediakan di Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong bermula pada jam 7.00 pagi.

 

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan (Profesional), Dr. Ang Swee Hui; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Dr. Hajah Anie Haryani binti Haji Abdul Rahman; ketua-ketua jabatan, berserta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.

 

Close